Kamis, 19 Juli 2007
Rabu, 18 Juli 2007
Selasa, 17 Juli 2007
Saat aku terjatuh..
Minggu, 15 Juli 2007
Ku katakan dengan indah..

Sedingin hati yang kesepian,
Rindu akan seorang insan bernama teman...
Bicara qalbi ini membisikkan azimat,
Pada meniupkan angin ketabahan..
Buat diri yang semakin sirna semangatnya..
dan luntur warna kekuatannya..
Taqdir-Nya yang menemukan,
Kehendak-Nya jua yang memisahkan..
Kasih tercipta, damai bahagia dirasa,
Biasan kasih Tuhan yang maha sempurna..
Buat insan yang tercari-cari cinta-Nya..
Berbekalkan limpahan rahmat yang Esa
Pelayaran itu dimudiki bersama...
Sauh kepercayaan...
Layar kesetiaan..
Nakhoda ketetapan hati..
Adalah kunci kekuatan diri
Buat menempuh badai sengketa..
Juga onar pepasir dusta..
Antara biasan kaca dan kilauan permata,
Kerdip dirimu sentiasa memanggil-manggil diri ini..
Pada menyatakan kau sahabat, kau jua teman..
Menjadi bukti agungnya kasih Ilahi..
Menyiram mekar, taman hati ini..
Meskipun begitu, kita tidak bisa jadi sempurna
Pada diri ini, terpalit seribu kekurangan
Terguris seribu kealpaan..
Hingga kita bisa terleka..lalai dari cinta-Nya
Juga cinta mereka yang selayaknya..
Diri ini amat kerdil di hadapan-Nya..
Diri ini amat takut akan siksa-Nya..
Diri ini mendamba seluruh pengampunan-Nya..
Diri ini ingin bersyukur sebagai hamba-Nya..
Untuk itu, ku katakan dengan indah..
Akan nada perpisahan bersulam harapan..
Kerna lumrah alam telah pun tertulis..
Setiap yang bernilai, menagih pengorbanan yang bukan secebis..
Moga impian kasih kan mewarnai hari muka..
Dengan segala keindahan dan bahagia selamanya..
Hadiah dari-Nya buat hamba yang bertaqwa..
Andai ada rindu, Allah sentiasa tahu..
Andai ada ingatan, sematkan ia sebagai kenangan..
Di lubuk hati yang dalam..
Di dasar jiwa yang terpendam..
Kerana tiada yang terindah di dunia ini..
Melainkan Cinta yang diredhai Ilahi..
1834
160707
Rabu, 27 Juni 2007
Pasca- Exam..
Cerah mentari di musim sejuk ini, secerah perasaan saya tatkala melangkah keluar dari dewan peperiksaan. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segala nikmat kurniaannya. Paper terakhir ini saya harapkan dapatlah menampung kekurangan saya dalam subjek Principle of Electronics pada hari sebelumnya.
Sebenarnya, saya agak down selepas menyudahi exam untuk subjek electronics itu, kerana saya tahu saya tidak dapat menjawabnya dengan baik. 'Ala kulli hal, saya pohon kepada Allah moga memberikan yang terbaik buat diri ini. Mujurlah ada sahabat yang memberikan kata-kata semangat, buat menyambung perjuangan yang hampir terhenti dek semangat yang merudum.
Terima kasih sahabat atas kata-kata penuh bermakna
Namun, secara keseluruhannya, saya dapat merasakan ada sedikit peningkatan dalam cara saya menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Mungkin sudah terbiasa dengan tutorials dan juga past years. Bak kata ibu, tiada soalan yang mustahil untuk dijawab. Dan harapan saya, semoga peningkatan ini akan berterusan untuk peperiksaan akan datang.
Bercakap soal exam, ada 2 perasaan yang sering menghantui diri. TAKUT dan HARAP. Takut fail dan berharap untuk lulus. Teringat pula saya akan khutbah jumaat untuk kali terakhir di Family House minggu lalu. Selepas ini, solat Jumaat akan diadakan di Bentley’s Wing, tingkat 2, bangunan UCSA. Khutbah tersebut memperkatakan tentang takut dan harap, sebagai pakej melengkapkan rasa keimanan kita kepada Allah.
Ada apa dengan takut dan harap?
Para ilmuan Islam terdahulu menyifatkan perjalanan kita menuju Tuhan ibarat seekor burung yang sedang terbang menuju sarangya dengan sepasang sayap. Sebelah sayap itulah takut, manakala sebelah lagi harap. Integrasi kedua-duanya sama penting bagi memastikan kestabilan dapat dicapai lantas memandu kita menuju matlamat hidup dengan selamatnya.
Takut adalah perasaan gentar dengan azab siksa Allah yang maha pedih, tidak tertanggung oleh kita, hamba yang serba hina ini. Pernahkah jari kita tersentuh api yang sedang menyala di dapur contohnya? Saya berani menjawab, tiada siapa yang mampu menanggung kepanasan api dunia. Dan api akhirat itu, terlalu panas, berwarna hitam pekat dan bisa terasa bahangnya meskipun berbatu-batu jauh jaraknya. Sanggupkah kita bersedia untuk azab semacam itu? Jika tidak, maka takut adalah kuncinya.
Takut untuk melakukan dosa, meskipun sekecil berpeluang meniru di dalam peperiksaan, di mana hanya kita sahaja yang tahu. Tatkala diri ingin melakukan dosa, di situlah perlu datangnya takut. Takut kita tidak mampu mempertahankan diri di hadapan mahkamah Allah yang Maha Adil. Takut akan azab Allah yang sudah pasti kita takkan mampu menanggungnya. Dan yang paling penting, takut tidak dapat menjadi seorang hamba yang bersyukur.
Hadith nabi pernah menyebut, pabila kita melakukan dosa, satu titik hitam akan menandai hati kita. Andai taubat nasuha kita gantikan dengan kesungguhan dan hati penuh ikhlas, titik hitam itu akan kembali terpadam. Namun andai kita terus melakukan dosa tanpa bertaubat, hati akan terus diselubungi titik hitam yang akhirnya akan membuatkan ia menjadi gelap. Ketika, takut sudah tiada lagi…
Bagaimana pula dengan berharap? Apa yang kita sepatutnya kita harapkan? Di sinilah perlunya kita sedar akan hakikat diri sebagai seorang hamba kepada tuan, bukan pekerja kepada majikannya. Apa pula beza hamba dan pekerja?
HAMBA (SLAVE)
Menjadi seorang hamba, bererti mengabdikan diri kepada tuannya. Ini kerana hamba adalah harta mutlak yang dimiliki oleh tuannya. Hamba itu disediakan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Setiap khidmat dan kerja hamba itu hanyalah untuk berbakti kepada tuannya. Dan sudah tentu hamba itu layak diuji tanpa perlu banyak soal kenapa itu dan ini.
PEKERJA (SERVANT)
Sebagai pekerja, mahu tidak mahu, seseorang itu pasti mengharapkan ganjaran daripada pekerjaan yang dilakukan. Biar seikhlas mana sekalipun, namun ganjaran itu tetap menjadi pendorong utama untuk terus bekerja. Itu sifat insaniyah yang tercipta bersama lahirnya kita ke dunia ini. Dan menjadi hak seorang pekerja, seandainya bosan dengan majikannya, dia boleh berhenti pada bila-bila masa. Terutama apabila dia adalah sorang pekerja yang berpengalaman. Untuk mendapat tawaran daripada syarikat yang berprofil lebih tinggi, bukan lagi suatu masalah baginya.
Winter holiday ini kalau dapat bermain skii pun seronok juga..
Dalam hal bertuhan ini, kita perlu sedar sentiasa, bahawa jawatan kita tidak lebih dari menjadi seorang hamba kepada Tuannya (Allah). Dan kita seharusnya berbangga dengan gelaran itu. Menyedari hal ini, apa yang perlu kita harapkan dari Allah adalah, bukan ganjaran pahala atau nikmat di syurga, tetapi keredhaan Allah yang akan merahmati segenap kehidupan kita lalu menjadikan kita tenang di bawah lembayung kasih sayang-Nya. Kita mengharapkan agar Allah menerima amalan kita yang bukan sahaja tidak seberapa, bahkan sedikitpun tidak dapat mambalas lautan nikmat yang kita rasai selama ini. Dan kita juga mengharapkan agar Allah mengampunkan dosa kita yang tidak terkira banyaknya ini. Itulah sebenar-benar pengharapan dari seorang hamba kepada Tuhannya.
Kedua-dua elemen ini begitu penting untuk kita seimbangkan. Andai kita hanya punya rasa takut, maka kita akan menjadi pesimistik. Sekali melakukan dosa, seolah-olah tertutup sudah pintu pengampunan kepada kita buat selama-lamanya. Tetapi, kalau hanya berharap juga tidak jadi, kerana kita akan cenderung untuk terus melakukan dosa dengan harapan dosa itu akan diampunkan Allah, dan kita akan dijamin syurga. Siapa yang mampu menjamin dirinya akan masuk ke dalam syurga dan terlepas dari siksa neraka?
Islam adalah agama keseimbangan. Seperti mana Ia mengajak kita supaya mengimbangi hubungan dengan Allah dan juga manusia melalui ibadah solat dan zakat, seperti itu jugalah kita perlu mengimbangi rasa takut dan berharap kepada-Nya.
Dan yang lebih penting daripada itu, rasa takut dan berharap ini bukan hanya perlu disuburkan ketika dalam keadaan kritikal seperti peperiksaan sahaja, malah ia perlu dibajai setiap masa. Kerana Allah yeng merupakan Tuhan kita itu tidak pernah lupa daripada melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya. Maka apakah patut kita memohon ‘cuti’ daripada menjadi hamba-Nya? Moga-moga kita mampu untuk menjadi Muslim yang benar-benar Mu’min sepanjang masa…
p/s: mutiara kata dari angah:
Angah_: Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu terus mengambil ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup...
Begitulah juda setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang, setelah dia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja, kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia masih mengingatimu..
Selasa, 26 Juni 2007
Dara, teruna makin hilang nilai
Dara, teruna makin hilang nilai
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@nstp.com.my
Ada individu utamakan kriteria cinta daripada latar belakang pasangan pilihan

Kekal dara atau teruna sehingga berkahwin juga tidak lagi menjadi perkara dapat dibangga-banggakan. Begitu juga halnya jika hilang dara atau teruna sebelum berkahwin, bukanlah sesuatu yang begitu dimalukan malah ada pula yang berbangga dengan ‘pencapaian’ begitu.
Usah jadikan kehidupan sebahagian besar masyarakat Barat yang semakin rendah nilainya itu sebagai panduan. Isu kehormatan dianggap remeh malah kebanyakan mereka seolah-olah tidak sabar-sabar lagi hendak mengorbankan keterunaan dan kedaraan mereka pada usia muda.
Bagaimana pula nilai dan kepentingan dara atau teruna dalam masyarakat kita hari ini?
Adakah kita masih meletakkannya sebagai ‘pengukur’ nilai kehormatan diri seseorang, baik lelaki mahupun perempuan, ataupun pegangan berkenaan sudah agak longgar kesan daripada kemodenan dan keterbukaan yang dialami masyarakat kini.
Bila menyentuh soal hilang kehormatan sebelum waktunya ini, ia saling bersangkut-paut dengan permasalahan moral seperti seks luar nikah. Pergaulan bebas antara lelaki wanita tanpa menjaga batasan yang sepatutnya, dikenalpasti antara punca yang menyumbang kepada perkara ini.
Atas sebab itulah, dalam mana-mana agama pun, kehormatan diletakkan sebagai aspek kemuliaan diri seseorang. Ia menghalang daripada berlakunya gejala tidak bermoral seperti seks bebas berlaku hingga membawa kepada banyak lagi kesan negatif dalam masyarakat.
Kerana itu juga, dalam ajaran Islam sendiri, perlakuan yang boleh mendorong kepada perbuatan zina lagi sudah ditegah. Malah, dalam konteks memelihara kehormatan ini, tafsiran petikan surah An-Nur (ayat 3), ada diingatkan bahawa orang yang berzina tidak akan berkahwin dengan orang lain selain daripada penzina juga.
Dalam mencari pasangan juga, persoalan kedaraan dan keterunaan sering diambil kira. Keperawanan disifatkan sebagai hadiah istimewa yang dapat diberikan seseorang kepada teman hidupnya. Soal dara ini memberi kesan besar terhadap keharmonian rumah tangga yang mahu dibina.
Syarat ini juga sering diletakkan sebagai kriteria utama seseorang lelaki dalam memilih bakal isteri mereka walaupun adakalanya yang hendak menyunting dara itu pun bukanlah teruna lagi.
Rata-rata lelaki yang diselidik oleh i-Kon berkata kalau boleh, dalam memilih pasangan hidup, mereka mahukan wanita yang masih terpelihara daranya biarpun ada di antara lelaki ini sebenarnya tidak teruna. Namun ada juga yang masih sedar diri, berkata mereka akan menerima pasangan yang tidak suci seperti diri mereka.
Ada pula si dara atau teruna yang sanggup menerima pasangan yang tidak dara atau teruna asalkan hati sudah saling mencintai dengan alasan, bukan mudah untuk mencari pasangan yang masih dara dan teruna.
“Pun begitu, selalunya ada double standard dalam hal berkaitan kehormatan ini, “ kata Ketua Gerakan Wanita Jemaah Islah Malaysia, Dr Harlina Halizah Siraj.
“Kedaraan seseorang wanita yang sering menjadi bahan bualan jika dibandingkan dengan keterunaan lelaki.
“Ini kerana dalam hal ini, yang menerima kesannya adalah wanita. Jika berlaku seks sebelum nikah, kesannya dapat dilihat secara fizikal, umpamanya jika wanita itu mengandung sedangkan kesan itu tidak dapat dilihat pada lelaki walaupun mereka terbabit,” kata beliau.
Berkemungkinan juga, ramai wanita tidak kisah menggadai dara mereka sebelum berkahwin kerana yakin dapat mengembalikan dara mereka itu dengan bermacam rawatan ‘pulih dara’ yang semakin banyak ditawarkan.
Tapi, seperti yang diberitahu Dr Harlina, sepanjang pengalamannya sebagai pakar ginekologi dan sakit puan, tiada kaedah atau rawatan yang mampu mengembalikan dara seseorang kerana apabila ia tiada sebaik seseorang itu melakukan hubungan seks buat pertama kalinya.
Biar apapun persepsi atau pegangan mengenai soal kedaraan dan keterunaan ini, pokok pangkalnya, kehormatan diri adalah hak mutlak individu untuk memeliharanya.
Komen Mohd Hafizi Zamri, 22, penuntut
“Bagi saya, kedaraan atau keterunaan sememangnya penting. Kedua-dua golongan, baik lelaki mahupun wanita harus memelihara kehormatan mereka selagi belum ada ikatan yang sah.
“Namun, sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang yang tidak lagi dara, saya terima saja kalau sudah jodoh. Tapi, kalau boleh memanglah mahukan yang masih dara lagi,”
Murshid Eunos, 24
Pegawai Perhubungan Awam
“Kehormatan sebenarnya adalah asas yang penting dalam kehidupan. Ia juga melambangkan keperibadian seseorang itu.
“Namun, dengan bermacam pengaruh negative yang ada sekarang ini membuatkan prinsip segelintir orang mengenai hal ini goyah.
“Mereka sepatutnya memperkuatkan diri dalam mempertahankan prinsip ini,”
Chermaine Poo, 28 Akauntan, pelakon
“Kedaraan dan keterunaan pada saya bererti kesucian dan keaslian.
“Saya percaya, masih ramai yang berpegang bahawa ia adalah nilai yang penting dalam kehidupan.
“Seseorang harus memelihara kehormatannya sehinggalah tiba saat untuk mendirikan rumah tangga. Bagi saya perkara ini tidak menunjukkan seseorang itu old-fashioned bahkan ia sebenarnya ‘correct fashion’,”
Menjaga kehormatan diri bukan kolot
Dara dan teruna sebagai nilai kehormatan seseorang; ramai yang masih menganggapnya penting namun bilangan yang tidak berpegang prinsip ini lagi juga semakin bertambah.
Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang juga Pakar

Persepsi mengenai hal ini kata Dr Harlina, sebenarnya berubah sedikit demi sedikit tanpa disedari masyarakat.
“Kalau kita lihat kepada permulaannya, iaitu bila wanita mula mempunyai peranan dalam banyak aspek, contohnya ekonomi dan pembangunan.
Peranan itu memerlukan mereka bekerjasama dengan kaum lelaki hingga pergaulan antara lelaki dan wanita sudah dianggap sesuatu yang biasa berbanding perspektif masyarakat pada zaman dulu.
“Sejak itu juga, banyak lagi perkara yang dulunya dianggap suatu kesalahan, kini sudah menjadi kebiasaan. Termasuklah dalam isu ini (kedaraan dan keterunaan).
“Bukanlah bermaksud pembabitan wanita dalam aspek pembangunan negara ataupun masyarakat itu tidak elok tapi setiap perkara itu ada batasannya. Bila batasan tidak dijaga, ia akan mengundang pelbagai implikasi yang buruk,” katanya.
Kata Dr Harlina, dara atau teruna berkaitan dengan harga diri dan maruah seseorang.
Suatu masa dulu, masyarakat cukup memberi penekanan dalam aspek ini.
“Namun, seperti yang kita dapat lihat sekarang, pandangan itu semakin berubah. Penekanan terhadap aspek ini semakin berkurangan dan jika begini senarionya, tidak mustahil dalam tempoh sepuluh tahun akan datang ia semakin berkurangan,” kata Dr Harlina.
Keadaan yang diistilahkan sebagai liberalisasi dalam aspek seks ini juga kata beliau boleh membawa implikasi tidak baik kepada masyarakat pada masa akan datang. Beliau juga bimbang kalau-kalau suatu masa nanti orang sudah tidak kisah lagi soal perkahwinan dan banyak lagi perkara yang jelas menyalahi agama dan budaya tidak diambil kisah.

“Ia menampakkan trend bahawa sebilangan besar orang kita sudah tidak lagi tegas dalam perkara ini. Seks bebas atau perbuatan yang boleh mendorong kepada perlakuan seks luar nikah tidak lagi menjadi pantang larang malah dianggap suatu kebiasaan.
“Mungkin ini sebahagian daripada ‘kemodenan’ dalam kehidupan hari ini namun percayalah kita terpaksa ‘membayar harga yang mahal’ terhadap tindakan kita waktu ini.
“Apabila kehormatan tidak lagi menjadi keutamaan, ia secara tidak langsung mengundang kepada bermacam gejala seksual yang seterusnya memberi kesan kepada kita semula.
Bila gejala seksual berleluasa pula, semakin bercambahlah masalah, antaranya lahir anak yang tidak jelas keturunan yang mana ada di antaranya dipersiakan begitu saja. ‘Penyakit’ ini jika tidak dibendung mampu membinasakan masyarakat sendiri akhirnya,” ujar beliau.
Justeru, katanya, kita terpaksa menerima hakikat bahawa masyarakat seharusnya berbalik semula kepada prinsip asas kemuliaan diri seseorang manusia dengan meletakkan nilai yang tinggi terhadap kehormatan dan maruah diri termasuklah hal berkaitan dengan kedaraan dan keterunaan ini.
“Jangan ingat bila kita berpegang kepada prinsip seperti ini menunjukkan kita kolot. Hakikatnya, prinsip ini amat penting dalam menjanjikan keharmonian dalam kehidupan manusia,” katanya.
Info Siapa, bila di mana dan bagaimana
# Di India, rata-rata remaja lelaki berusia lingkungan 17 tahun hilang keterunaan mereka kepada saudara perempuan mereka seperti ibu saudara, sepupu atau kakak ipar mereka. Begitu juga di Romania, kebanyakan ibu selalunya mengaturkan pengalaman seksual pertama anak mereka dengan kenalan atau jiran wanita yang lebih berusia.
# Ramai lelaki Jepun yang kehilangan teruna mereka di tempat pelacuran yang digelar soapland. Di tempat ini, pengunjung lelaki akan bermandi buih bersama pelacur sebelum melakukan seks.
# Dalam budaya masyarakat di sesetengah tempat di Asia Barat pula, pasangan yang baru berkahwin akan diberikan tempat khusus untuk melalui malam pertama mereka. Pengantin lelaki juga akan mempamerkan kepada tetamu, saudara dan kenalan, kain putih yang mempunyai kesan darah sebagai tanda mereka mengahwini seorang perawan.
# Di kebanyakan negara sekitar Asia juga, menjadi satu kepentingan bagi seseorang untuk mengahwini seorang yang masih teruna atau dara.
# Purata umur seseorang melalui pengalaman seks pertama
1 China (21.9)
2 Taiwan (21.4)
3 India (20.8)
4 Amerika Syarikat (16.4)
5 Brazil (16.5)
6 Perancis (16.8)
Sumber : Majalah Marie Claire (2001)
Jumat, 22 Juni 2007
Alhamdulillah...Terima Kasih Abah & Ibu
Saya mulakan entri ini dengan ucapan bismillah walhamdulillah...
Kala ini hati saya terasa sedikit tenang, walaupun masih di tengah-tengah kehangatan gelombang peperiksaan yang meruntun kekuatan akal untuk meneruskan perjuangan yang berbaki 4 hari sahaja lagi.
Rasa syukur tidak terhingga saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana menganugerahi saya sedikit ketenangan yang saya kira cukup berharga dan bermakna, ibarat air yang dingin di tengah padang pasir yang panas dan kontang.
Pagi tadi saya menduduki peperiksaan akhir untuk subjek Mechanics of Materials B, di bawah kelolaan Lecturer Dr Eli Van Houten. Peperiksaan yang bernilai 50% ini begitu kritikal bagi saya, lantaran saya tidaklah mendapat markah yang begitu memberangsangkan dalam dua ujian sebelum ini yang bernilai 50% juga. Maka, peperiksaan ini bakal menentukan sama ada saya lulus atau terpaksa mengulanginya pada tahun hadapan. Sudah tentu saya tidak mahu.
Dalam kekalutan melakukan persediaan semalam, saya sempat menelefon ibu. Mulanya, saya cuba menelefon rumah di Kerteh,namun tiada jawapan. Hati jadi gusar. Lantas saya cuba menghubungi telefon bimbit ibu, Alhamdulillah, lega mendengar suara ibu yang memulakan bicaranya dengan ucapan "Hello sayang..". Hilang segala resah gelisah yang membaluti tubuh sejak sehari dua ini. Rupa-rupanya ibu dan abah dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu, kerana abah menghadiri kursus Public Mutual (Unit Trust), sejenis profession yang melibatkan 'collective investment' terutama untuk tempoh jangka panjang. Kursus ini adalah persediaan untuk aktiviti selepas bersara abah yang akan bermula 31 Disember 2007.
Ibu memberitahu, bahawa kebanyakan mereka yang menyertai kursus itu terdiri daripada orang muda. Abah satu-satunya 'orang lama' di kalangan mereka. Timbul pula rasa 'menjadi muda' buat seketika. Kata ibu, "Biar muda di wajah, jangan di hati. Kalau di hati, susah ibu nanti.." Saya menyokong saranan itu sambil ketawa. Hilang sebentar kerisauan akan peperiksaan yang bakal dihadapi keesokan hari.
Ibu dalam nasihatnya membritahu saya supaya banyakkan berselawat dan istighfar, terutama apabila berhadapan waktu-waktu sukar di dalam dewan peperiksaan. Amalkan juga membaca surah Al-Inshirah. Pernah juga ibu bertanya,"Solat Tahajud ada buat?". Saya menjawab,"Errmmm...hehe". Bagi ibu, biar anaknya belajar jauh sampai ke hujung dunia sekali pun, namun hubungan dengan Allah itu jugalah yang mesti diutama. Saya insaf sejenak.
Seketika kemudian, saya sempat berbicara dengan abah. Abah, seperti biasa, memberi semangat yang tidak pernah luntur. Saya masih ingat lagi kata-kata nasihatnya semalam:
But when we succeed, it is very enriching"
Benar, pengertian mutiara kata itu benar-benar dirasakan saat ini. Seketika, saya kagum dengan semangat abah untuk mengambil peperiksaan Public Trust itu, meskipun di sekelilingnya mereka yang lebih muda dan beliau sudah pun melebihi separuh abad umurnya. Namun semangatnya ketika menasihati saya semalam, ibarat seorang jurulatih yang bersungguh-sungguh mahukan yang terbaik daripada anak buahnya. Inshaa Allah saya tidak akan mensia-siakan harapan yang tinggi menggunung itu. Demi abah dan ibu.
Usai menghubungi mereka, saya merasakan seolah-olah dikurniai semangat baru untuk berjuang. Biarpun sesukar mana soalan yang bakal ditanya, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijawab dengan sebaik-baiknya.
Dan Alhamdulillah, berbekalkan semangat dan doa ibu dan abah, saya mampu untuk menjawab hampir kesemua soalan, meskipun saya tidak pasti salah atau betulnya. Yang penting, saya telah pun cuba melakukan yang terbaik sekadar kemampuan saya. Selebihnya, saya bertawakal kepada Allah, Tuhan yang Maha Adil lagi Bijaksana.
2 down,2 more to go. Inshaa Allah, saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik, biarpun di minit terakhir dalam peperiksaan subjek Dynamics pada hari Rabu nanti. Semoga Allah memberkati usaha yang dicurahkan dan mengampunkan dosa-dosa saya yang bisa menjadi hijab kepada kejayaan yang diimpikan. Dan saya kira segala amalan saya ini, terlalu halus nilainya, dan takkan cukup untuk membalas segala nikmat yang pernah saya rasakan hingga detik ini.
Buat akhirnya, terima kasih abah dan ibu kerana memahami setiap kesusahan anakmu ini. Andai ku himpun kebaikan sebesar dunia dan seisinya, pasti dan pasti, takkan mampu membalas jasa pengorbanan keduamu..Sayang abah & ibu..